Sunday, August 21, 2011

Keutamaan Lailatul Qadar

Dari Anas ra, dia berkata, “ Telah bersabda Rasululllah S.A.W :
Pada Malam Lailatul Qadar, Jibril as dengan serombongan malaikat turun. Mereka membacakan selawat dan salam untuk tiap hamba yang berdiri atau duduk mengingat Allah SWT. “
            Abu Hurairah berkata , “ Pada malam lailatul qadar, para malaikat yang turun ke bumi lebih banyak daripada batu kerikil. Pintu langit dibuka untuk mereka turun sebagaimana telah dijelaskan. Maka tersingkaplah kerajaan ini oleh pancaran cahaya. “ Adapun manusia dalam hal itu bertingkat-tingkat. Ada yang untuk sesetengah mereka, dibukakan tabir kerajaan langit dan bumi sehingga dapat melihat rupa Malaikat dalam rupa aslinya. Ada yang duduk, rukuk, sujud, berzikir, bertasbih dan bertahlil. Malah ada juga dalam kalangan mereka, dibukakan tabir syurga sehingga ternampak mahligai-mahligai, taman, bidadari,sungai, pepohonan dan buah-buahnya. Bahkan mereka juga dapat melihat tempat para nabi, para wali dan syuhada. Kemudian, mereka juga melihat Neraka dengan segala isinya serta tingkatan orang-orang kafir. Malahan, ada pula sesetengah mereka yang dibukakan tabir antara dia dan Allah SWT sehingga dia melihat Allah SWT sahaja. (  dalam bab ini, aku rasa kalian kena tanya orang yang lebih ariff  kerana dah masuk jalan tasawuf, tarekat dan hakikat ni. Kita orang awam- janganlah berharap akan dapat melihat perkara-perkara sebegitu apabila beramal  )
            Dari Umar ra, Rasulullah SAW bersabda :
            Barangsiapa yang hidupkan malam 27 bulan Ramadhan sampai subuh, dia lebih kusukai daripada beribadah setiap malam Ramadhan seluruhnya. “ Fatimah lalu berkata, “ Wahai ayahku, apa yang mesti dilakukan oleh lelaki dan perempuan yang tidak mampu beribadah malam ? “ Baginda menjawab , “ Hendaklah mereka jangan terus tidur, kemudian mereka duduk sesaat saja pada malam itu untuk memanjatkan doa kepada Allah SWT . Itu lebih kusukai daripada ibadahnya umatku seluruhnya pada bulan Ramadhan. “
            Dari Aisyah ra , dia berkata , “  telah bersabda Rasulullah SAW :
            Barangsiapa yang menghimpunkan malam Lailatul Qadar, melakukan solat dua rakat dan memohon ampun kepada Allah di situ, tentu Allah SWT mengampuninya, dia menyelam dalam rahmat Allah serta Jibril mengusap akan dia dengan sayapnya. Siapa yang diusap Jibril dengan sayapnya pasti dia akan masuk syurga. “
           
 P/s Sahabatku sekalian, pesanan untuk aku dan kalian ialah, marilah kita sama2 mencari keampunan Allah SWT dalam bulan maghfirah ini..Ya Allah, kami ini berdosa! Ampunkanlah dosa kami yang nyata atau tersembunyi, yang telah berlalu, sekarang dan akan datang Ya Allah.. Dosa kami yang besar atau kecil…dan janganlah kau tinggalkan kami walaupun dengan sedikit dosa kecuali telah diampunkan oleh-Mu ya Allah. Ampunilah segala dosa kedua ibu bapa kami, dosa kaum keluarga dan sanak saudara kami, dosa sahabat-sahabat kami, dosa guru-guru kami, dosa muslimin dan muslimat, mukmin dan mukminat, baik yang masih hidup atau yang telah mati. Amin. Ya Robbal Alamin. 

Tuesday, August 16, 2011

Nak Dapatkan majalah solusi , Gen-Q dan lain-lain ... dapatkan di sini...

Assalamualaikum, 
kepada rakan2 yang nak dapatkan majalah solusi dan sebagainya, dapatkannya di sini http://www.stormreaders.net/mohdayob

Sunday, August 14, 2011

Kisah 3 lelaki di majlis ilmu



Oleh Amran Zakaria

2011/08/15

Tiada batas usia untuk perbaiki kelemahan diri

ADA kala berlabuh juga perasaan malu di hati kerana memaksa diri untuk mendalami ilmu agama pada usia senja. Sebenarnya dalam agama tidak ada istilah malu atau seumpamanya jika kita bertekad untuk mempelajarinya.
Sikap yakin mesti ditanam sepenuhnya dalam diri bahawa inilah masa terbaik untuk melaksanakan niat setelah sekian lama tertangguh. Faktor umur usah dijadikan alasan untuk mengelak diri daripada mempelajari ilmu agama.
Bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya. - Surah An-Nahl, Ayat 43
Ingatlah bahawa tempoh untuk kita tidak terhad dan terbatas. Islam menetapkan untuk kita bertanyakan sesuatu yang kita tidak tahu dalam hal agama kepada mereka yang lebih tahu. 

Firman Allah yang bermaksud: “Bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya.” (Surah An-Nahl, ayat 43).

Apa yang lebih utama ialah perbetulkan niat untuk mempelajari ilmu agama seikhlasnya demi kerana Allah dan Rasul-Nya. Ingat tujuan sebenar kita menuntut ilmu untuk keluar daripada kejahilan demi mencari kebenaran dan berpegang kepadanya.

Kisah tiga lelaki dalam majlis ilmu yang dikendalikan Rasulullah SAW boleh dijadikan pengajaran kepada sesiapa yang berminat mendalami ilmu agama dan khabar dibawa Rasulullah SAW boleh dijadikan panduan dalam proses pencarian ilmu keagamaan. 
Daripada Abi Waaqid Allaithy menceritakan, sewaktu Rasulullah SAW berada dalam majlis ilmu di masjid bersama sahabatnya, datang tiga lelaki, lalu dua orang terus menyertai majlis ilmu itu manakala seorang lagi berlalu begitu saja (tanpa menyertainya).

Sewaktu kedua-dua orang itu berada dekat halaqah, salah seorang daripada mereka terlihat ruang kosong lalu dia duduk di situ, manakala seorang lagi duduk jauh di belakang. Lelaki yang ketiga beredar.

Apabila Rasulullah SAW selesai mengendalikan pengajian lalu Baginda bersabda: “Mahukah kalian aku khabarkan mengenai hal orang bertiga itu? Yang pertama itu dia bersungguh-sungguh untuk mencari ilmu, maka Allah melapangkan tempat untuknya, manakala yang kedua itu dia berasa malu (tidak bersungguh-sungguh) maka Allah juga malu daripadanya (yakni tidak memberinya ilmu yang banyak) dan yang ketiga itu dia berpaling dari Allah, maka Allah juga berpaling daripadanya (tidak mengendahkannya).”

Daripada Abi Musa, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan hidayah dan ilmu yang aku bawa daripada Allah adalah bagaikan hujan yang lebat menimpa bumi; maka ada bahagiannya yang subur dan mudah menyerap air, lalu tumbuhlah pokok dan rumput yang banyak, dan ada pula bahagiannya yang keras hanya menakung air tetapi tidak menyerap, lalu manusia dapat mengambil manfaat daripadanya seperti minum, menyirami dan mengairi tanaman, dan ada pula bahagian yang lain iaitu bahagian tanah yang sama sekali tidak menerima air dan tidak pula tumbuh tanaman (diatasnya).”

Itu adalah perumpamaan (untuk) orang yang memahami agama Allah, dia dapat mengambil manfaat daripada apa yang diberikan Allah kepadaku, lalu ia mengetahuinya dan mengajarkannya (kepada orang lain); dan perumpamaan (untuk) orang yang tidak mengangkat kepala dengan itu; dan (perumpamaan untuk orang) yang tidak menerima hidayah yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepadaku.” (Hadis sahih, Muttafaq ‘Alaihi).

Antara ilmu yang utama ialah ilmu yang diwahyukan kepada Rasul-Nya. Ilmu agama ini diturunkan Allah Taala dengan dua tujuan iaitu mengaturkan hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan Allah Taala. 

Keduanya, dengan ilmu agama ini diajarkan adab dan peraturan yang mesti diamalkan seseorang dalam hubungannya dengan Allah demi mencapai keredaan-Nya. Matlamatnya jelas untuk kebahagiaan di dunia dan mendapat balasan sebaik-baiknya di akhirat kelak.

Letakkan niat yang baik supaya dapat memperbaiki diri dengan menambah pengetahuan dalam ilmu agama bagi memudahkan urusan amal ibadah. 
Daripada Ka’ab bin Malik, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) bertujuan untuk menyaingi ulama atau berbahas dengan orang jahil atau supaya dengan ilmu itu wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah).

catatan : aku ambil daripada bharian.com.my untuk kegunaanku sendiri dan kalian semua, MoGa bermanfaat! Amin.


Friday, August 12, 2011

kesilapan terbesar dalam mendidik anak


Kesilapan-Kesilapan Dalam Mendidik Anak-Anak


Sebenarnya terdapat banyak bentuk kesilapan dalam mendidik anak-anak.
Kesilapan terbesar ialah kegagalan ibu dan bapa menjadikan agama sebagai teras dalam pendidikan anak-anak.
Agama membawa kepada keseimbangan antara fizikal dan spiritual. Antara pembangunan akhlak dan kecemerlangan akademik. Antara dunia dan akhirat.
Tanpa agama, anak-anak ibarat ditinggalkan di lorong yang gelap tanpa pedoman untuk diikuti.
Sering kali berlaku, ibu bapa yang bersungguh-sungguh memarahi anak yang mendapat nombor yang corot dalam peperiksaan, tetapi hanya buat selamba abapila mengetahui anaknya meninggalkan solat dengan sengaja.
Tak kurang juga ibu bapa yang sangat mengambil berat soal makan-minum anak-anak tetapi, mengabaikan terus 'makanan' rohani anak-anak yang sentiasa 'lapar' dan 'dahagakan' petunjuk agama.
Ada juga ibu bapa yang membiarkan anak-anak bergaul bebas lelaki perempuan dengan alasan ia adalah 'kebiasaan budak-budak zaman sekarang', tanpa peka dengan batasan syariat yang menuntut kawalan pergaulan antara jantina berbeza.
Ringkasnya, pengabaian agama merupakan kesilapan terbesar dalam pendidikan anak-anak.
Mendidik Tanpa Belas Ihsan
Selain itu, kesilapan juga berlaku apabila ibu bapa mendidik anak tanpa perasaan belas ihsan.
Dr Abdullah Nasih Ulwan menyebut bahawa terdapat anak-anak yang diperlaku dengan perlakuan yang keras sehingga menyebabkan anak-anak tertekan, kecewa, punah harapan dan ada yang membunuh diri.
Tidak dinafikan terdapat ibu bapa yang 'mendidik' anak berbekalkan luapan emosi marah tidak terkawal sehingga ada yang memaki hamun, menghina, memukul dan membelasah anak sendiri. Bahkan kes-kes penderaan anak masih kerap didengari sehingga hari ini.
Kekerasan melampau ke atas anak-anak ini membuahkan kekacauan jiwa anak-anak. Hal ini juga ada kaitannya dengan faktor anak-anak enggan berada di rumah. Bagi mereka 'Rumahku Nerakaku'. Mereka lebih bahagia dan damai bila berada dengan rakan-rakan, yang kadang-kadang membawa mereka ke kancah kemusnahan kekal.
Bagi si ibu dan bapa, perlu diingat bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk berbuat baik kepada anak-anak kerana anak adalah amanah dari Allah SWT.
"Sesungguhnya Allah menyuruh menjalankan keadilan, berbuat baik, dan memberi kepada kaum kerabat." (Surah an-Nahl:90)
Sabda Rasulullah SAW:
"Sekiranya Allah inginkan kebaikan bagi sesebuah keluarga, maka diberikan sifat belas kasihan kepada mereka. Dan andainya sifat belas kasihan itu suatu ciptaan (yang boleh dilihat), nescaya semua manusia akan memandangnya sebagai sebaik-baik ciptaan dari Allah. Dan sekiranya kekerasan itu adalah satu ciptaan (yang boleh dilihat), nescaya semua manusia akan memandangnya sebagai seburuk-buruk ciptaan dari Allah." (Riwayat Ahmad dan Al-Baihaqi)
Terlalu Memanjakan Anak-Anak
Selain itu, kesilapan juga berlaku apabila ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak. Ada ibu bapa yang berat untuk menghukum dan menegur anak-anak semata-mata takutkan anak itu merajuk.
Kuasa merajuk anak itu diberikan sedemikian rupa sehingga anak itu berjaya memanupulasikannya sebagai senjata untuk mengugut ibu bapa.
Tidak salah untuk memanjakan mereka. Memang anak-anak perlukan kemanjaan dan kasih sayang. Namun, tindakan yang salah ialah terlalu memanjakan anak dengan tidak menetapkan disiplin dan sempadan ke atas anak-anak.
Akhirnya anak itu menjadi terlalu bebas, dan gagal dididik dangan teratur dan berprinsip.
Kesimpulan
Ringkasnya, antara faktor yang merosakkan pendidikan anak ialah berpunca dari ibu bapa sendiri yang gagal mendidik dengan cara yang betul. Realiti hidup masa kini yang semakin kompleks dan mencabar menuntut ibu bapa agar lebih tekun mendalami ilmu dan kemahiran keibubapaan dan mengadaptasinya dalam kehidupan berkeluarga.
Landasan agama merupakan asas yang paling baik untuk menjadi bekalan dan rujukan dalam mendidik anak-anak menuju ketinggian sahsiah.
Sumber : iluvislam

Biodata Kolumnis

Ustaz Fathi Yusuf merupakan graduan ijazah Undang-Undang Syariah UIAM dan master Undang-Undang UKM manakala isterinya, Ustazah Ros Izanuri Jamaluddin merupakan graduan Bahasa Arab UIAM. Ustaz Fathi sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang PhD di UIAM manakala Ustazah Ros Izanuri mengajar di SMK Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Sejarah SeKolah Kebangsaan Kedai Buloh 1


Sejarah Sekolah Kebangsaan Kedai Buloh (1)

Sekolah Kebangsaan Kedai Buloh (1) ditubuhkan pada tahun 1958. Walau bagaimanapun, sekolah tersebut pada waktu itu masih belum menggunakan nama sebagaimana yang diguna pakai sekarang.

Pada bulan Mac 1958, "Gerakan Lampu Suluh" diadakan untuk mendaftarkan anak-anak tempatan kampung Kedai Buloh agar bersekolah. Wang yuran sebanyak dua ringgit seorang dipungut untuk membina "bangsal" sekolah. Pada waktu itu, seramai 105 orang murid berjaya didaftarkan di peringkat ini.

Pada hari Ahad 28 April 1958, sekolah dibuka dengan nama Sekolah Rakyat Kedai Buloh, Kota Bharu di tapak asalnya di Kampung Kedai Buloh Hilir. Guru Besarnya yang pertama ialah Cikgu Hj. Nik Muhammad b. Nik Wan. Dua orang guru yang mula-mula mengajar di sekolah ini ialah :

·         Nama :           Cikgu Ab. Ghani b. Che Mat
·         Darjah            :           1A
·         Pelajar           :           53 orang

·         Nama :           Cikgu Rugayah bt. Nik Wan
·         Darjah            :           1B
·         Pelajar           :           52 orang
Pada awal tahun 1959 murid bertambah seramai 35 orang lagi menjadi 140 orang. Guru besar mengambil seorang lagi guru iaitu Esah bt. Ali dari anak tempatan juga.

Pada akhir tahun 1959 ibu bapa bergotong royong memindahkan bangsal sekolah ke tapak yang ke dua di Kampung Kedai Buloh Tengah iaitu di atas tanah kepunyaan YM. Almarhum Tengku Mansor dengan sewaan sebanyak $30.00 (tiga puluh ringgit) setahun.

Pada awal tahun 1960 bilangan murid bertambah menjadi 185 orang dan seorang lagi guru diambil iaitu Cikgu Wan Hashim b. Wan Ahmad. Pada bulan Mac 1960, AJK PIBG telah memohon bantuan kerajaan untuk mendapatkan bangunan separuh kekal dan diluluskan.

Pada tahun 1961 bilangan murid berjumlah 295 orang dan dua orang lagi guru diambil iaitu Cikgu Wan Hamidah bt. Jaafar dan Cikgu Wan Maimunah bt. Wan Ibrahim, menjadikan 6 orang semuanya. Sebuah lagi bangunan separuh kekal dibina oleh kerajaan.

Tapak sekolah yang dahulunya disewa telah berjaya dibeli oleh pihak sekolah dengan harga $1000.00 (seribu ringgit) daripada tuan punyanya YM. Tengku Nortaman bt. Tengku Mansor.

Pada bulan Februari 1962 Sekolah Rakyat Kedai Buloh diserahkan kepada Kerajaan dan diberi nama Sekolah Kebangsaan Kedai Buloh, Jalan Kuala Besar, Kota Bharu. Pada waktu ini bilang       an murid telah meningkat lebih kurang 400 orang dengan gurunya seramai 7 orang.

Memandangkan kawasan tapak yang ke dua ini juga tidak begitu sesuai kerana sentiasa ditelenggami banjir. Kawasannya juga agak sempit untuk membina bangunan tambahan bagi menampung pertambahan murid yang kian pesat, maka pada tahun 1980 AJK PIBG telah memohon tapak lain untuk pembinaan sekolah dan bangunan baru dan berjaya diluluskan.

Pada 11 April 1982, bangunan baru di tapak Jalan Pantai Cahaya Bulan telah dibuka dengan rasminya oleh YBM. Tengku Razaleigh Hamzah. Menteri Kewangan Malaysia ketika itu.

Sehingga kini, seramai 9 orang guru besar telah dikenal pasti mentadbir dan menguruskan sekolah ini. Berikut ialah senarai nama guru besar bagi Sekolah Kebangsaan Kedai Buloh (1) sejak ia ditubuhkan pada tahun 1958. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit ketidakpastian berhubung guru besar pertama memandangkan tiada rekod rasmi yang berkaitan.



SENARAI NAMA GURU BESAR
SEKOLAH KEBANGSAAN KEDAI BULOH (1)


BIL

TAHUN

NAMA

1
1966 – 1969
Tuan Haji Taib Bin Abdullah

2
1970 – 1980
Tuan Haji Nawi Bin Latiff

3
1980 – 1982
Tuan Haji Syafie Bin Salleh

4
1982 – 1987
Tuan Haji Yusoff Bin Hassan, AMN, PPN

5
1988 – 1988
En. Mohamad bin Haji Abd Rahman

6
1988 – 1991
Tuan Haji Alias Bin Harun

7
1991 – 1995
Tuan Haji Nik Omar Bin Nik Salleh, AK.

8
1995 – 2000
Tuan Haji Wan Hassan Bin Wan Abdullah

9
2000 – 2003
Tuan Haji Mohd Nordin Bin Ibrahim

10
2003 -  2007
En. Mahd Razan Bin Che Jaafar

11
26.12.07 - 2011
Tuan Haji Wan Nazimuddin bin Mustapha

12
2011
Nik Kamal B. Raja Hassan